Sunday, August 10, 2008

sejarah smk seri garing


Sejarah Sekolah


Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing pada awalnya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Rawang. Sekolah ini telah dibuka pada tahun 1959 dan mempunyai satu kelas peralihan bertempat di Government English School yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sinaran Budi. Sekolah ini berfungsi sebagai sekolah komprehensif iaitu terdapat sebuah sekolah rendah dan menengah dalam satu bangunan. Sekolah ditadbir sementara oleh guru besar Government English School.

Sebagai sebuah sekolah yang baru ditubuhkan, sekolah ini telah menghadapi masalah kekurangan premis untuk menempatkan pelajar-pelajarnya. Bagi menampung pertambahan bilangan pelajar sebahagian pelajar ini ditumpangkan di Sekolah Rendah Cina San Yuk dan di sebuah premis milik Kelab Blue Circle di Rawang. Pada tahun 1966, barulah pelajar-pelajar berkenaan dipindahkan semula ke premis baru setelah fasa pertama pembinaan sekolah ini siap dibina pada Januari 1966.

Fasa kedua pembinaan ini siap dibina pada tahun 1968 dengan 16 buah bilik darjah dan makmal sains, termasuk dua bilik sains rumah tangga dan sebuah bilik lukisan. Dengan pembinaan bangunan tersebut, maka Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris), Rawang (yang kini dikenali sebagai SMK Seri Garing) telah berpindah ke premisnya sendiri sepenuhnya iaitu tapak sekolah yang ada sekarang pada Julai 1968. Pada tahun tersebut juga barulah seorang pengetua ditempatkan untuk mentadbir sekolah.

Pada hari Selasa, 25 Mac 1969, sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu iaitu Yang Berhomat Encik Mohd Khir Johari. Pada tahun 1977, satu pertandingan mencipta nama baru sekolah telah diadakan. Seorang pelajar, Hazemi bin Sidek telah muncul sebagai pemenang dengan nama sekolah hasil ciptaannya iaitu Sekolah Menengah Seri Garing atau nama singkatannya SEGAR. Nama baru ini dipilih kerana lokasi sekolah ini di Jalan Kuala Garing. Singkatan SEGAR pula melambangkan sesuatu yang sentiasa segar lagi mekar. Nama baru ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Encik Chan Siang Sun pada 22 Julai 1977. Ada dua sebab nama sekolah ini ditukar. Pertama, semua sekolah aliran bahasa Inggeris di Malaysia perlu ditukar kepada aliran bahasa Melayu. Keduanya, nama lama sekolah ini bukan nama sebenar tetapi sekadar menunjukkan perbezaan antara sekolah rendah dengan menengah.

Lagu sekolah Tekun-Jujur-Jaya telah dicipta oleh Encik Zainal Rashid salah seorang tenaga pengajar di sekolah pada tahun 1977. Sementara itu, lambang sekolah telah dicipta pada tahun 1966 lagi dengan cogan katanya “Tekun-Jujur-Jaya”.

Sekolah ini kini telah mempunyai 12 blok bangunan. Jumlah pelajarnya menjangkau 3446 orang dengan 158 orang guru sebagai tenaga pengajar.

No comments: